Sunday, May 4, 2008

Rumahku Syurgaku


Rumah adalah tempat sesebuah keluarga menikmati hidup. Keselesaan dalam rumah amat mustahak kerana kebahagiaan keluarga itu bermula dari rumah. Setiap keluarga mesti
mewujudkan suasana yang harmoni dan selesa dalam rumahnya. Maksud keselesaan di sini ialah keselesaan yang memungkinkan setiap anggota keluarga mempunyai bilik tidur yang cukup, ruang rehat yang selesa, mempunyai sistem peredaran dan pertukaran udara di setiap ruang rumah dan lain-lain keperluan seperti ruang dapur, tandas dan sebagainya.

Daripada Saad r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu Wanita yang baik (solehah), tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik.”(Riwayat al-Baihaqi)

Dalam Islam telah ditentukan bahawa kanak-kanak mempunyai tempat tidurnya sendiri. Oleh itu menjadi tanggungjawab ibu bapa melatih kanak-kanak tidur berasingan apabila mereka mencapai umur sepuluh tahun. Di waktu itu tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan hendaklah diasingkan supaya tidak timbul sesuatu perkara yang tidak baik.

Daripada Ibnu Amr r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Suruhlah anak kamu menunaikan sembahyang apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka enggan sembahyang) apabila berumur sepuluh tahun, dan asingkan tempat tidur mereka.”(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Selain daripada mempunyai ruang-ruang yang cukup, hiasan rumah adalah satu ciri penting untuk mewujudkan keluarga bahagia dan menjadikan rumah itu sebuah syurga. Ini kerana setiap insan di dunia ini inginkan sesuatu yang indah., cantik dan menarik. Hal ini adalah selaras dengan anjuran Islam kerana agama Islam sendiri amat mementingkan aspek keindahan dan kebersihan.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah itu cantik Ia sangat sukakan yang indah dan cantik.”(Riwayat Muslim dan At-Tirmizi)

Keindahan dan kebersihan yang dituntut oleh Islam adalah daripada semua aspek bukan sahaja tertumpu kepada aspek keindahan dan kebersihan alam sekitar, bandar dan pejabat-pejabat sahaja malah termasuklah keindahan dan kebersihan dalam rumahtangga dan sekitarnya.

Amalan menjaga kebersihan adalah bermula daripada rumahtangga dan apabila dihayati dengan sepenuhnya akan wujudlah amalan penjagaan kebersihan di luar rumah.
Oleh yang demikian untuk mencapai kebahagiaan bagi sesebuah institusi keluarga dan seterusnya menjadikan rumahtangga itu sebagai syurga perlulah menghayati prinsip-prinsip yang telah ditentukan oleh Islam.

No comments: