Sunday, May 4, 2008

Mewujudkan Hubungan Baik Ibu Bapa Dengan Anak


Apabila perhubungan antara ibu dan bapa dapat di bentuk dalam keadaan “ma’ruf” (baik) maka benih kasih sayang pasti akan bertunas dan bercambah ke dalam ahli keluarganya. Anak-anak yang melihat canaian kasih sayang antara ibu dan bapa mereka akan turut sama mengamali dan menikmati kemanisan serta kelazatan suasana itu. Justeru itu menjadikan ibu bapa mereka sebagai model dalam jiwa dan kehidupan mereka sendiri.

Kasih sayang dan belas kasihan ibu bapa terhadap anak-anak sebenarnya bermula dalam kandungan lagi. Bagi ibu-ibu yang sedang mengandung, mereka digalakkan memakan makanan yang baik dan berzat, mengamalkan tingkah laku yang mulia, selalu membaca al-Quran, sentiasa berdoa kepada Allah memohon kebaikan kepada anaknya dan lain-lain amalan kebaikan seperti yang diperintahkan oleh Islam. Begitu juga bagi bapa, mereka hendaklah sentiasa mendampingi isteri mereka, sama-sama berkongsi kesukaran dan penderitaan yang dialami oleh isteri, tidak berlaku kasar dan benci kepada isteri dan sentiasa berdoa kepada Allah memohon keselamatan kepada isteri dan bayi yang bakal dilahirkan. Begitulah seterusnya apabila anak itu lahir ke dunia, kasih sayang perlu diberikan supaya pembentukan syakhsiah mereka menjurus ke arah manusia yang sempurna, berakhlak mulia seterusnya dapat mengharungi kehidupan ini dengan sebaik-baiknya.

Tidak dinafikan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah contoh yang paling ideal dan tepat untuk diikuti. Ibu bapa seharusnya menyedari hakikat ini dan berazam mengamalkan segala kebaikan untuk keluarga mereka. Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi daripada Aisyah r.a., sabda baginda:
Maksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik kepada ahli keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli keluargaku.”(Riwayat at-Tirmizi)
Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Al-Hakim daripada Aisyah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: "Sesungguhnya antara sifat-sifat yang boleh menjadikan seseorang itu sempurna imannya ialah yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya."(Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)

No comments: