Monday, April 7, 2008

Anugerah Tuhan

Tiga bulan selepas kami diijabkabulkan, aku dan suami mendapat perkhabaran gembira dari Dr. Fauzana, Klinik Hijrah. Aku telah disahkan mengandung anak sulung. Perasaan kami ketika itu sungguh gembira sekali, tak percaya pun ada...

Menempuh perjalanan menanti kehadiran cahaya mata yang berjalan selama lebih kurang sembilan bulan, bukanlah suatu yang mudah. Pengalaman itu dilalui dengan penuh kepayahan, mungkin juga keresahan, kebimbangan dan apa sahaja rasa yang sukar untuk diungkapkan. Cukuplah dikatakan itu sebagai suatu penantian yang penuh dengan debaran dan harapan. Doa kepada Tuhan sentiasa berpanjangan, agar semuanya selamat.

Debaran semakin kencang di saat-saat kelahiran cahaya mata. Namun semuanya berjalan dengan lancar. Tanggal 29hb September 2003, tepat pukul 8.45 malam, terdengarlah tangisan bayi perempuan yang ditunggu-tunggu. Syukur alhamdulilah di atas anugerah Tuhan yang tidak ternilai ini. Aina Alya binti Sulaiman diberi nama.

Ketika menahan saki baki rasa sakit sesudah melahirkan secara normal, sayup-sayup terdengar suara suami aku mengazankan anak kami. Sayu hati ini. Oh.... aku kini sudah menjadi seorang IBU.


1 comment: